Thursday 5 April 2012

MEMASANG RANGKAIAN WIRELESS

Akses tanpa wayar membolehkan komputer, komputer riba dan telefon pintar wayarles menjalinkan hubungan di dalam rangkaian sedia ada. Peranti utama yang diperlukan untuk persediaan ini adalah Wireless Access Point. Wireless Access Point atau WAP akan dipalam ke dalam rangkaian berwayar sedia ada, menghantar dan menerima data menggunakan frekuensi radio tanpa perlu menggunakan kabel melalui dinding ke setiap komputer.

Penggunaan Wireless Access Point
Dalam contoh di bawah, Wireless Access Point disambungkan ke modem jalur lebar (broadband) melalui ethernet dan menghantar serta menerima data dari komputer riba tanpa wayar dan telefon pintar.



Langkah-Langkah persedian Wireless Access Point
Terdapat banyak jenama-jenama Access Point yang berada di pasaran, saya juga telah menggunakan banyak jenis Access Point. Antara yang popular adalah jenama Asus, Belkin, D-Link, NETGEAR dan lain-lain. Tidak kira jenis atau jenama Wireless Access Point yang digunakan oleh anda, penyediaan Access Point adalah hampir sama bagi kebanyakan vendor. Langkah ini tidak memerlukan penggunaan mana-mana cakera padat atau perisian tertentu. Semua konfigurasi akan dilakukan melalui pelayar web.

1) Log Masuk ke Panel Kawalan Access Point

2) Tukar Kata Laluan Default

3) Konfigurasi Asas Tetapan Wireless

4) Konfigurasi Keselamatan Tanpa Wayar

5) Konfigurasi Alamat IP Access Point

6) Uji Sambungan


Log Masuk ke Panel Kawalan Access Point
Anda memerlukan maklumat-maklumat berikut untuk mengakses Access Point anda:

1) Alamat IP access point anda. Contoh: 192.168.0.1 (jenama router anda mungkin berbeza).
2) nama pengguna dan kata laluan access point. Contoh: user = admin | pass = password

Maklumat ini berbeza mengikut jenama dan model access point. Pada amnya anda boleh mendapatkan maklumat ini di buku panduan pengguna atau di belakang kotak asal bungkusan. Sambungkan access point dengan kabel ethernet ke komputer atau komputer riba

Dalam contoh ini, saya akan menggunakan access point Linksys WRT54GL dan disambungkan ke komputer desktop untuk konfigurasi.



Langkah seterusnya ialah untuk menukar alamat IP desktop supaya ia boleh berkomunikasi dengan access point.

Untuk membolehkan konfigurasi ke atas access point, komputer atau komputer riba anda perlu di tetapkan ke dalam rangkaian yang sama dengan access point supaya ia boleh berkomunikasi terus dengan access point.

Alamat IP default bagi Linksys model WRT54GL adalah 192.168.1.1

Untuk menjadikan lebih mudah, tukarkan alamat IP komputer anda satu digit lebih tinggi atau menggunakan nombor yang selari, supaya alamat IP bagi setiap peranti dibaca seperti berikut: (IP anda mungkin berbeza).

Alamat IP Access Point = 192.168.1.1
Alamat IP Komputer = 192.168.1.2

Contoh lain:

Alamat IP Access Point = 192.168.1.1
Alamat IP Komputer = 192.168.1.100


Cara menukar Alamat IP komputer

Windows 7: Start > Control Panel > Network and Sharing Center > Change Adapter Settings > klik dua kali pada Local Area Connection > Properties.

Windows XP: Start > Control Panel > Network and Internet Connections > klik dua kali Network Connections > klik dua kali pada Local Area Connection > Properties.

Pada kekotak dialog Local Area Connection, pilih Internet Protocol (TCP/IP) atau Internet Protocol Version 4 (TCP / IPv4) dan kemudian klik butang Properties seperti yang ditunjukkan di bawah.



Pilih butang radio "Use the following IP address" dan masukkan alamat IP anda sendiri di sini. Untuk kemudahan, saya menggunakan nombor urutan yang sama digunakan oleh access point. Alamat IP access point saya berakhir dengan 192.168.1.1, di sini saya akan tetapkan komputer saya menggunakan alamat IP 192.168.1.2



Selepas menambah alamat 192.168.1.XXX, alamat subnet mask akan diisi secara automatik apabila anda klik di tempat lain. Sekiranya ini tidak berlaku, masukkan 255.255.255.0 ke dalam ruangan tersebut.

Klik butang OK apabila selesai.

Masuk ke Access Point melalui Pelayar Web
Selepas melakukan konfigurasi ke atas komputer anda untuk berada pada rangkaian yang sama dengan access point, seterusnya anda akan log masuk ke dalam access point dengan pelayar web anda.

Lancarkan salah satu pelayar web anda, contohnya Firefox dan masukkan alamat IP access point ke dalam navigasi. Dalam contoh ini saya menggunakan alamat IP WRT54GL saya:



Access Point akan meminta anda memasukkan nama pengguna dan kata laluan. Masukkan nama pengguna dan kata laluan default anda.

Tukar Kata Laluan Default
Selepas berjaya masuk ke panel kawalan access point, langkah pertama yang perlu anda buat adalah menukar kata laluan default access point anda. Ini sangat penting bagi memastikan tidak ada orang lain selain anda dibenarkan masuk ke dalam panel kawalan access point.



Konfigurasi Asas Tetapan Wireless

Tetapan wayarles yang paling biasa yang perlu dikonfigurasi adalah seperti berikut:

Wireless Network Mode - Ini adalah pilihan mod bagi rangkaian wayarles anda. Pilihan mod adalah berbeza-beza di sini bergantung pada peranti yang akan disambung ke access point, tetapi mod a, b, g dan n adalah mod yang biasa digunakan. Mod G dan N adalah piawai terkini dengan mod N adalah mod terpantas berbanding G. Sekiranya access point anda membenarkan campuran mod atau mixed mode, gunakan mod campuran. Jika anda ragu-ragu, pilih mod G sahaja.

Wireless Network Name (SSID) - Ini adalah nama wayarles yang akan dapat dilihat oleh pengguna lain dengan mata kasar apabila mereka mengimbas rangkaian wayarles. Dalam contoh ini, saya telah memilih nama ILMUIT sebagai nama SSID. Masukkan nama pilihan anda di sini.

Channel/Frequency - Saluran 1, 6 dan 11 adalah pilihan yang paling biasa di sini. Sekiranya anda tahu saluran sedia ada yang digunakan oleh pemancar wayarles lain di kawasan anda, sila pilih saluran yang belum digunakan untuk mengelakkan gangguan. Sebagai contoh jika jiran anda menggunakan saluran 6, anda boleh memilih saluran 1 atau 11 untuk access point baru anda.

Wireless SSID Broadcast - Sila aktifkan fungsi ini untuk membenarkan peranti lain mengimbas access point anda.



Konfigurasi Keselamatan Tanpa Wayar
Tetapan keselamatan akan melindungi rangkaian dan transmisi data wayarles anda dari akses luar. Bagi kebanyakan tujuan, memilih ciri keselamatan WPA akan memberikan keselamatan yang paling tinggi dengan keserasian maksimum dari pelbagai peranti tanpa wayar. Sekiranya anda mempunyai pilihan antara WPA-Personal atau WPA-Enterprise, pilih WPA-Personal kecuali anda mempunyai pelayan RADIUS.

Jika semua alat-alat peranti wayarles anda serasi dengan protokol WPA2, anda boleh memilih ciri keselamatan WPA2 untuk mendapatkan ciri keselamatan yang dipertingkat.

Elakkan memilih ciri keselamatan WEP. Ciri keselamatan WEP sudah ketinggalan selain protokol keselamatan wayarlesnya yang kurang selamat. Saya sarankan anda tidak menggunakan WEP untuk melindungi rangkaian wayarles anda.

Masukkan frasa kata laluan anda. Dalam contoh ini saya menggunakan kata laluan ilmuit12345 untuk membolehkan peranti wayarles lain menyambung ke access point ini, peranti tersebut perlu memasukkan ungkapan ini untuk bersambung ke rangkaian ILMUIT.




Konfigurasi Alamat IP Access Point
Setakat ini, anda telah menggunakan alamat default IP yang diberikan oleh vendor access point anda iaitu 192.168.1.1 dan 192.168.1.2 untuk komputer. Untuk membolehkan komputer riba, telefon pintar dan peranti wayarles lain berkomunikasi dengan access point, anda juga perlu menetapkan alamat IP untuk setiap peranti tersebut.

Terdapat dua kaedah yang boleh anda gunakan.

1) IP Statik
2) IP Dinamik

Alamat IP 192.168.1.2 yang ditetapkan kepada komputer sebelum ini adalah contoh bagaimana menetapkan alamat ip statik pada komputer. Ia boleh ditetapkan pada komputer desktop atau komputer riba. Bagi sesetengah peranti seperti telefon bimbit, anda tidak boleh menetapkan alamat ip statik.

Cara yang paling cepat dan mudah untuk membenarkan peranti lain bersambung ke access point adalah dengan memberikan alamat IP kepada peranti secara automatik sebaik sahaja peranti bersambung ke rangkaian tanpa wayar anda. Anda boleh menetapkan tetapan ini di access point melalui DHCP Server.

Apabila access point berfungsi sebagai DHCP Server, setiap komputer dan peranti yang bersambung ke access point akan mendapat alamat IP, subnet mask dan tetapan gateway default secara automatik. Dengan ini anda tidak perlu menetapkan alamat ip pada komputer anda, cukup sekadar dengan memilih "Obtain an IP address automatically"



Dalam contoh di atas, saya telah menetapkan alamat IP access point kepada 192.168.1.1 dan setiap komputer akan diberikan alamat IP sendiri bermula dari 192.168.1.100 hingga 192.168.1.109. Sebanyak 10 buah peranti akan dibenarkan untuk menggunakan rangkaian ini.

Uji Sambungan
Selepas semua tetapan dibuat, simpan konfigurasi. Cabut access point dari komputer anda. Gunakan komputer riba atau peranti wayarles untuk mencari SSID access point. Klik pada sambungan untuk menyambung ke rangkaian wayarles anda dan masukkan frasa kata laluan apabila diminta.







PENUBUHAN KELAB/PENGURUSAN TEKNOLOGI MAKLUMAT SEKOLAH

1. Pendahuluan

1.1Dunia sekarang berada dalam era maklumat, di mana Teknologi Maklumat memainkan peranan yang penting untuk kejayaan masa depan dalam dunia tanpa sempadan. Selaras dengan perkembangan ini, Sistem Pendidikan Kebangsaan haruslah mengoptimurnkan penggunaan Teknologi Maklumat untuk tujuan pengurusan serta pengajaran dan pembelajaran. Sehubungan
dengan ini, panduan penubuhan Kelab Komputer/Teknologi Maklumat Sekolah perlu diberi penekanan baru kerana:

a. Teknologi Maklumat sentiasa berkembang dan berubah;
b. Kepesatan kemasukan pelbagai program Teknologi Maklumat ke sekolah;
c. Teknologi Maklumat merupakan penyokong kepada pengajaran dan pembelajaran bestari; dan/atau
d. Ketidakseragaman dalam penubuhan dan perkembangan Kelab Komputer/ Teknologi Maklumat Sekolah.

1.2 Tujuan panduan ini ialah untuk memberi panduan kepada guru-guru bagaimana hendak:
a. Menubuhkan Kelab Komputer/Teknologi Maklumat Sekolah;
b. Merancang aktiviti; dan
c. Mengurus dan mentadbir kelab.

2. Matlamat Kelab Komputer/Teknologi Maklumat Sekolah

Dalam usaha negara mempertingkatkan kebolehan rakyat dalam bidang Teknologi Maklumat, matlamat Kelab Komputer/Teknologi Maklumat Sekolah ialah untuk membolehkan murid mendapat pengetahuan dan menguasai kemahiran asas Teknologi Maklumat. Selain daripada itu, murid boleh meningkatkan keupayaan pengkomputeran untuk pembangunan diri sesuai dengan perkembangan Teknologi Maklumat pada masa kini dan akan datang berlandaskan nilai-nilai murni yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara.

3. Objektif Kelab Komputer/Teknologi Maklumat Sekolah

Matlamat Kelab Komputer/Teknologi Maklumat Sekolah boleh direalisasikan melalui objektif yang berikut:

a. Pengetahuan.

i. Mendedahkan murid kepada pengetahuan asas yang berkaitan dengan sistem komputer/Teknologi Maklumat.
ii. Membimbing murid mengetahui sistern pengoperasian komputer.
iii. Memberi murid peluang untuk meneroka perkembangan terbaru dalam pelbagai disiplin ilmu.
iv. Mendedahkan murid kepada peluang-peluang kerjaya yang berkaitan dengan komputer dan Teknologi Maklumat.

b. Kemahiran.

i. Menguasai kemahiran mencari dan mengurus maklumat yang sesuai melalui penggunaan Teknologi Maklumat.
ii. Menguasai kemahiran berinteraksi antara individu/kumpulan melalui kemudahan Teknologi Maklumat dan sistem rangkaian komunikasi.
iii. Menguasai kemahiran pengaturcaraan yang membolehkan murid membangunkan sesuatu sistem.

c. Nilai.

i. Memupuk sikap positif terhadap penggunaan Teknologi Maklumat.
ii. Menggalakkan perkongsian idea dan maklumat di kalangan murid, antara kelab, dan antara institusi atau individu dalam masyarakat.